Pengamatan
dalam seni visual adalah asas pembelajaran yang perlu dilatih secara formal dan
sistematik. Dalam menilai karya seni, proses pengamatan memerlukan latihan yang
berterusan. Suatu kaedah dalam penghasilan karya seni yang bernilai kepada
seorang pembuat seni itu ialah bagaimana setiap pengamatan itu berterusan dari
proses awal hingga kepada teknik penghasilan. Pengamatan berterusan melihat dan
mengkaji setiap olahan yang membantu menyelesaikan masalah dalam berkarya. Proses
pencarian kepelbagaian teknik dilakukan apabila kelaziman mengamati ini
dibiasakan.
Pengamatan hasil seni sebagai sebahagian
aktiviti minda dan rohani, boleh dikembangkan melalui kepekaan memerhati dan menganalisis.
Pengamatan itu membawa maksud memerhati benar-benar dan melihat dengan teliti
hingga dikatakan proses penelitian yang
bersungguh-sungguh yang melibatkan proses fikir dan pandang. Apabila perhatian
itu ditumpu pada sesuatu objek, secara khusus dan terperinci, kesan visual itu
akan dinilai imejnya secara efektif atau dramatik. Pemerhatian ini akan
menimbulkan pelbagai persoalan. Kenapakah setengah reka bentuk itu disusun sebegitu
rupa? Adakah susunan itu menarik perhatian ramai? Bagaimanakah kaedah
pengolahan itu meninggalkan kesan kepada pemerhati?
Sebahagian
hal benda dan medium yang berkaitan diamati sebagai asas dalam penerokaan
teknik berkarya. Hal benda yang ditonjolkan dalam sesuatu ilustrasi membawa
kesan efektif dalam reka bentuk diamati dari pelbagai sudut menggunakan
strategi deskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan. Hingga ada
persamaan reka bentuk antara pengalaman dengan persekitaran turut dijadikan
bahan pengamatan. Proses pengamatan ini berterusan mematangkan diri seseorang
kerana pengamatan hakiki memerlukan penghayatan,pengklasifikasian,pengadaptasian
dan penganalisisan. Daripada pengamatan akan ditemui sesuatu kesan visual bukan
sahaja membawa kesan terperanjat malah secara tidak sengaja ada sesuatu mainan
perasaan yang menjadi kita terpegun. Maka kesan pengamatan itu akan ada
penganotasian iaitu suatu rujukan mungkin tambahan catatan bagi mendapatkan
penjelasan lanjut.
Idea yang unik sama ada bermula dengan
simbol atau paten-paten visual adalah sebahagian daripada reka bentuk dan
meninggalkan kesan inspirasi. Dalam reka bentuk dan reka letak sebagai aktiviti merancang,
mengarah dan mengawal sangat memerlukan pengamatan yang tinggi. Segalanya membawa erti akan terhasil sesuatu
yang memenuhi kehendak dan keperluan terhadap kualiti karya yang boleh
mendorong masyarakat berfikir dan menghargai karya seni.
Melalui prinsip seni, istilah seperti kesatuan
seni bermaksud kesan penghasilan yang dilakukan oleh pembuat seni meletakkan
elemen visual berdekatan dalam satu uniti. Susun letak dan susun atur tersebut
menampakkan kesan harmoni yang mewujudkan kesatuan yang menarik dan
saling berhubungkait. Ia tidak terasing dan terapung antara satu dengan lain. Apabila
dilihat elemen-elemen tersebut bersama secara keseluruhan ada kesatuan yang
diwujudkan seperti berkait, berpautan dan dapat berada dalam keharmonian
bersama.
Dari proses pengamatan, hal berkaitan susun
atur bagi objek alam benda misalannya adalah satu contoh bagi melihat kesan
kesatuan yang baik dan menarik. Ketelitian susun letak objek dan penggunaan
bayang visual adalah strategi bagi menonjolkan kesan uniti. Mata kita akan
bergerak perlahan dari satu objek ke objek yang lain. Teknik meletakkan
elemen-elemen visual berdekatan ini disebut ‘proximity’ sudah dikenali dan berkembang di
kalangan pembuat seni. Tanpa teknik ini, elemen-elemen visual yang dipilih
sukar untuk diperbesarkan sudut dan ruangnya. Justifikasi menerusi teknik ini menempelkan
imej yang terserlah dalam ruang yang harmoni dan seimbang.
Dalam mematangkan proses pengamatan
ditemui suatu teknik pengulangan yang lazim kita dengar dalam bahasa visual
sewaktu mengadakan sesi apresiasi dan kritikan. Teknik pengulangan elemen visual
tertentu menghasilkan kepelbagaian sudut dalam
perekaan yang terikat dalam satu kesatuan. Elemen yang diulang itu boleh
terdiri daripada warna, bentuk, garisan, rupa bentuk, jalinan atau sesudut.
Contoh karya Gustav Klimt dari segi
visual menyerlah teknik pengulangan dalam suatu komposisi. Bentuk bulatan,
lengkung dan beberapa lingkaran ditonjolkan pengulangannya menjadi berbeza saiz
dan ton. Elemen-elemen ini ditindih menjadi satu paten, kadangkala ditonjolkan
dalam gaya legap atau opaque
dan ada ketikanya berlutsinar bagi menjelmakan bahagian depan atau belakang.
Pengulangan yang berjaya dapat menjadikan suatu rekaan itu berada dalam
komposisi yang menarik dan hal ini menjadi proses pengamatan mendorong kita mengenalpasti
ciri-ciri fizikal sesuatu karya.
▲Karya Gustav Klimt. Berjudul
‘Expectation’. Tahun 1905-09. Media
campuran kertas perak dan emas.
Saiz 6’4” x 3’93/8”
Hasil
arca Louise Nevelson pula menunjukkan
contoh kekuatan uniti melalui teknik pengulangan. Dalam karya Vincent van Gogh berjudul “The Starry Night”, teknik pengulangan garisan berlingkar telah
membawa keunikan tersendiri sehingga visual yang kita lihat itu menjadi suatu
pergerakan sebahagian daripada awan dan cahaya bulan yang menerangi langit.
Apabila diamati di sebalik hal benda dalam karya tersebut maka kita mulai
sedar, pembuat seni mengadaptasikan kesan pengulangan bagi membesarkan kekuatan
uniti.
Karya Louise Nevelson. Berjudul
‘Dawn’s Wedding
Chapel 1’. Tahun 1959. Bahan kayu dicat putih.
Saiz 228 x 129 x 15 cm.
Karya Vincent van Gogh.
Berjudul ‘The Starry
Night’. Tahun 1889. Bahan cat minyak di atas kanvas. Saiz 73.7 x 92.1 cm.
Dalam proses pengamatan
secara semula jadi mata pemerhati diajak melihat, mengekori sesuatu objek
visual dengan cermat dari satu arah ke arah lain. Mata bergerak lancar tanpa
paksaan melalui kebijaksanaan pembuat seni menyusun teknik perekaan. Salah satu
teknik secara semula jadi iaitu penggabungan elemen visual seperti
garisan, sudut pepenjuru atau sambungan dari satu bentuk ke bentuk yang lain akan
mengaktifkan mata pemerhati. Anggota-anggota badan manusia, haiwan dan
tumbuh-tumbuhan berbentuk abstrak dalam karya Picasso
adalah contoh teknik penggabungan yang membawa kesinambungan imej.
Bentuk-bentuk tadi berkongsi melalui dua kekuatan iaitu sudut pepenjuru dan
sokongan garisan horizontal yang merentas kanvas.
Karya Pablo Picasso.
Berjudul ‘Guernica’. Tahun 1937.
Bahan cat minyak di atas kanvas.
Saiz 11’51/2 ”
x 25’53/4”
Teknik penggabungan ini telah dimajukan
dan berkembang ditangan pereka grafik atau pembuat seni yang bijaksana dalam
merancang susun letak. Ciptaan kreatif ini membawa kesan visual terutamanya dalam
penghasilan seni grafik yang menonjolkan kekuatan elemen seni seperti dalam
percetakan grafik kepala berita, gambar foto, lambang, simbol dan imej tarikan
bersama teks. Hasil kreatif ini boleh diamati dalam terbitan buku, majalah,
iklan, risalah atau brochure dan
lain-lain lagi.
Teknik
penggabungan memerlukan perekaan terancang dalam mempelbagaikan bentuk hingga
pepenjuru dilihat tegak, kukuh dan bermakna. Hasil reka bentuk ini menjadi kekuatan
untuk mengangkat sesuatu konsep asas yang sama seperti diaplikasikan dalam
penghasilan katalog, risalah, majalah, buku yang melibatkan banyak halaman.
Perancangan seorang pereka bentuk bermula dengan struktur format berpandukan
garisan grid menegak dan melintang sebagai panduan membahagikan ruang setiap
muka surat.
Dalam pengamatan, reka bentuk yang dihasilkan
bermula melalui idea. Segala idea yang baik memerlukan kreativiti yang mampu
mempelbagaikan elemen uniti melalui teknik proximity
secara pengulangan dan berkesinambungan. Apabila suatu bentuk itu diulang dalam perbezaan saiz
maka pengulangan itu masih belum mantap dan perlu ada kesinambungan melalui
pengulangan warna dalam berbeza nilai. Contoh pengamatan yang boleh diambil
ialah menerusi karya Piet Mondrian yang stail
olahan melalui cara susunan dalam kotak. Persoalan pengamatan kita ialah
sejauhmanakah daya tarikan visual dalam karya itu dikatakan terserlah? Tarikan
ini lahir apabila asas-asas aplikasi prinsip seni diterima pakai secara
terancang.
Karya Piet Mondrian.
Berjudul ‘Composition
with Red, Blue, Yellow, Black, and Gray’.
Tahun 1922. Bahan cat minyak di atas
kanvas.
Saiz 41.9 x 48.6 cm.
Saiz
dan rupa boleh mengubah pengamatan seseorang
melalui kualiti elemen seni seperti mainan tebal atau nipis garisan hitam atau penegasan
susun letak pepenjuru melalui rupa dan warna tertentu. Kualiti elemen seni ini
dapat mengekalkan daya tarikan dalam jangka masa yang lama sebagai keindahan
yang tidak jemu ditatapi.
Pelbagai
jenis reka corak, reka bentuk sama ada abstrak atau sebaliknya merupakan contoh
yang dapat kita amati setiap hari. Karya Piet
Mondrian merupakan olahan teknik kepelbagaian uniti menggunakan
setiap penjuru dan sudut kotak-kotak yang boleh dihitung. Dengan berbeza saiz
diselang-seli melalui mainan garisan horizontal dan vertikal, pengamatan kita
tertumpu pada keseluruhan teknik pengulangan. Pecahan-pecahan oleh beberapa
bentuk di sekelling itu dizahirkan dari adunan warna kontras.
Kematangan
dalam pengamatan seni visual akan melalui proses secara semula jadi apabila
merentasi masa, zaman, budaya dan kawasan geografi. Secara semula jadi proses
pengamatan terbahagi pada pengamatan realiti dan pengamatan ilusi. Kedua-dua
jenis pengamatan ini meletakkan tanggapan tentang kenyataan yang melibatkan
persepsi realiti dan ilusi. Dengan menyakini proses melalui galur semula jadi
maka setiap pengamatan itu tidak dapat lari dari persepsi atau tanggapan
mengenai sesuatu perkara dengan melihat hakikat kewujudannya atau kenyataan
yang sebenar. Karya Wassily Kandinsky seperti “Picture with an Archer” adalah contoh karya yang mengunakan olahan
komposisi melalui bentuk organik dan geometri yang diulang-ulang.
Karya
Wassily Kandinsky. Bertajuk ‘Picture with
an Archer’. Tahun 1909.
Bahan cat minyak di atas kanvas. Saiz 5’9” x 4’9”
Dalam pengamatan kita, segala yang logik,
munasabah dan bersesuaian diambil pertimbangan. Segala perubahan saiz dan ton
akan menjadi tanda tanya, kenapa dan mengapa ia dipelbagaikan. Logik dan
munasabah yang dimaksudkan ini adalah persepsi seseorang yang menyakini
pengamatan jenis realiti. Adakah munasabah dan sesuai kepelbagaian ini bermain
difikiran kita bagi mencari jawapan untuk memenuhi kehendak tarikan dan
kepuasan? Sehingga ke suatu tahap kematangan pengamatan tidak lagi melihat yang
lazim seperti cantik, puas dan menarik tetapi mencari yang luar biasa.
Ketika ini kematangan pengamatan sudah meletakkan
keyakinan saling melengkapi antara realiti dan ilusi sebagai hakikat kewujudan
suatu kenyataan yang sebenar. Justeru itu usah berkelahi jika ada perbezaan
persepsi antara individu dan kumpulan audiens apabila pengamatan seni yang
menjadi penilaian dalam apresiasi seni begitu subjektif malah di kalangan
pembuat seni sendiri mereka berdiri dengan yakin di sebalik stail dan ideologi.